Thursday, September 22, 2011


Kuasa Hebat Memaafkan

Selamat Hari Raya Aidil Fitri – Maaf Zahir dan Batin

Sudah jadi amalan kita semua untuk bermaaf-maafan di Hari Raya. Adakah kita bermaaf-maafan hanya sekadar adat atau dengan hati yang ikhlas dan sedar? Kita bukan hanya digalakkan untuk bermaaf-maafan di Hari Raya, malah setiap hari. Kita digalakkan untuk memaafkan semua orang sebelum tidur di malam hari, yang paling utama, maafkan diri sendiri atas segala kekurangan di siang tadi.

Apa hebatnya memaafkan?

Jika anda menyimpan dendam terhadap sesiapa atau marah pada diri sendiri (sedar atau tak), sama ada besar atau kecil, pada dasarnya anda membawa beban berat dalam hati anda dan ia memberi kesan negatif kepada anda pada kebanyakan masa.

Ya, anda boleh terus marah atau kecewa dengan seseorang lain kerana mereka melakukan kesalahan terhadap anda. Namun tanpa disedari anda sebenarnya sedang menyakitkan diri anda sendiri untuk jangka masa panjang. Apabila anda menyimpan betapa seseorang telah menyakiti anda, anda sebenarnya menghabiskan sebahagian daripada tenaga dalaman anda ke atas perkara yang telah berlalu. Berpegang kepada perkara yang telah berlalu, yang digabungkan dengan perasaan negatif tentang pengalaman tersebut, merendahkan kemampuan anda untuk mencapai sesuatu dalam hidup anda.

Memaafkan secara dramatik akan meningkatkan frekuensi getaran minda anda, yang boleh menarik situasi dan pengalaman yang menakjubkan ke dalam hidup anda, seperti yang anda hasratkan.

Cara untuk memaafkan:

1. Langkah pertama – buang perasaan negatif tersebut. Terdapat pelbagai teknik yang boleh membantu anda membebaskan perasaan yang terpendam itu. Salah satu cara mudah adalah menulis jurnal. Tulis apa saja yang anda rasa tentang peristiwa lalu tanpa sebarang tapisan atau suntingan. Tulis sehingga kesemuanya dikeluarkan dari diri anda. Jangan membacanya sehingga anda selesai sepenuhnya. Kemudian bakar apa yang telah ditulis dan istiharkan, “Saya lepaskannya.”

2. Langkah kedua – secara sedar pilih kemaafan. Anda punya pilihan, untuk terus menyimpan rasa marah dan benci atau pilih memaafkan. Pilih memaafkan bermakna anda bebas dari cengkaman masa lalu, anda boleh maju ke hadapan tanpa apa-apa halangan lagi.

Cara paling mudah untuk memaafkan seseorang adalah dengan membayangkan orang itu ada di hadapan anda, kemudian sebut dengan jelas, “Saya maafkan kamu atas semua perkara lalu.” Rasai apa yang dirasa apabila melakukannya. Perhatikan perubahan besar dalam jiwa anda setelah anda bertekad untuk memaafkan.

No comments:

Post a Comment